Terkini!

Soutul Amal Terbit #DutaKasihSayang

Kemunculan semula Soutul Amal (dulu Shoutul Amal) dalam dunia nasyid terutama di Malaysia nyata diterima baik oleh para peminat nasyid baru dan lama.

Pada awal langkah untuk kembali aktif dalam dunia hiburan sekitar tahun 2015, mereka memberanikan diri untuk tampil dengan album kompilasi Seru Pembelaan. Nyata tindakan mereka itu tepat pada masanya. 

Album tersebut menerima sambutan hangat dari para peminat Soutul Amal yang sekian lama menanti kemunculan semula mereka. Malah lagu Seru Pembelaan pernah menembusi carta-carta nasyid di beberapa buah radio seperti IKIM.fm dan Melaka.fm.

Sejak dari itu, Soutul Amal menyusun strategi demi strategi dalam mengetengahkan karya-karya mereka kepada umum. Sebaik sahaja album kompilasi Seru Pembelaan muncul, Soutul Amal mengambil langkah proaktif dengan menerbitkan siri album mini iaitu Edisi Khas, Langkah Pejuang, Raya & Usia serta Murabbi Ummah. 

Strategi ini amat memberi impak positif buat Soutul Amal. Malah setiap album mini tersebut berjaya dijual melebihi 1000 unit dalam tempoh seminggu setelah diterbitkan.

Penerimaan ini memberi semangat buat Soutul Amal untuk tampil dengan album penuh ketiga mereka, Duta Kasih Sayang. Album ini telah berada di pasaran sejak Oktober 2016.

ALBUM #DUTAKASIHSAYANG PENUH MESEJ

Dalam album ketiga mereka kali ini, Soutul Amal telah memberanikan diri dengan memuatkan 18 buah lagu dalam satu album, satu langkah yang amat jarang dalam era muzik masa kini.

Ketika pengambaran video klip Tujuh Dinar Terakhir.
Sumber: Facebook Soutul Amal
Pelbagai elemen muzik moden dan kontemporari seperti Pop, Nasyid, R&B, Padang Pasir, Qasidah dan genre "Melayu Nusantara" digabungkan dalam album ini. Malah setiap muzik yang ada dalam album ini disesuaikan dengan tema setiap lagunya.

Mesej yang ingin disampaikan melalui album ini berpaksikan Surah Fussilat ayat 33:

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Lagu-lagu yang terdapat dalam album ini ialah Seruan Suci, Awwal Kalam, Tujuh Dinar Terakhir, Penghulu Ummah, Seru Rindu, Lembayung Maghfirah, Analisa Diri, Jiwa Hamba, Wa'tasimu, Srikandi Mujahidah, Semulia Khadijah,  Seru Pembelaan, Murabbi Ummah, Nostalgia Bersamamu, Semua Fana dan Langkah Pejuang 2016.

Dalam memastikan sesuatu produk itu berkualiti, Soutul Amal turut menggunakan tenaga Alfa Booty Kesuma sebagai penerbit album. Malah penglibatan Alfa Booty Kesuma bersama Daqmie dalam susunan muzik album ini nyata memberi kesan yang positif.

#DutaKasihSayang diterbitkan serta diedarkan sendiri oleh Soutul Amal Records. Album ini boleh didapati secara terus daripada Soutul Amal melalui Facebook mereka. -WRTKP

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda