TERKINI!

Pasca #AJL31: Syamsul dan Mawi Berjaya Kalah Dalam Menang


Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31) telah melabuhkan tirainya pada malam 22 Januari 2017. Semua sedia maklum lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah telah dinobatkan sebagai Juara Lagu bagi AJL31. Lagu tersebut merupakan ciptaan komposer Natasyah dan liriknya hasil nukilan Iman Imran.

Seperti biasa, apabila diumumkan keputusan rasmi AJL31, media arus perdana, laman-laman portal serta para netizen akan memperkatakannya. Ada yang setuju, ada yang tidak. Hakikat yang perlu diterima ialah AJL merupakan pertandingan yang mempertandingkan lagu serta lirik, bukannya penyanyi.

Kejayaan Lelaki Teragung adalah kerana liriknya yang sarat dengan mesej-mesej positif. Malah tindakan lagu Ku Rela Dibenci nyanyian Aiman Tino mengubah lirik-lirik negatif dalam lagu tersebut, masih belum mampu menandingi mesej yang terkandung dalam lagu Lelaki Teragung.

Selain Lelaki Teragung, lagu Kalah Dalam Menang nyanyian Syamsul Yusof dan Mawi turut tidak mengecewakan. Tatkala malam AJL31 gegar gempita dengan sorokan serta pakaian-pakaian artis yang pelbagai ragam, lagu Kalah Dalam Menang diperdengarkan.

Hadirin seperti terdiam! Lagu ciptaan Syamsul Yusof manakala liriknya oleh Syamsul Yusof dan Anwar Faizal secara jelas mengandungi unsur-unsur ketuhanan dan kritikan pedas buat mereka yang mendengarnya.

Syamsul dan Mawi bersahaja ketika AJL31.
Dengan gaya yang bersahaja, Syamsul dan Mawi mampu menyampaikan lagu tersebut dengan jelas dan tiada cacat celanya. Itulah kekuatan Mawi dan Syamsul.

Bukan muda untuk sesuatu lagu ketuhanan kekal dalam carta Juara Lagu sehingga ke tahap finalis AJL. Kali terakhir ialah pada AJL25 di mana Mirwana dan Hujan tampil dengan lagu Tika Masanya.

Seharusnya kejayaan Kalah Dalam Menang untuk menjadi finalis AJL diambil perhatian oleh penggiat seni muzik religi di Malaysia. Keterbukaan dan gaya bersahaja perlu diambil perhatian terutama artis-artis nasyid supaya lagu-lagu religi boleh menembusi mana-mana pertandingan seperti AJL.

Ya, memang pertandingan atau anugerah seperti AJL bercampur antara dosa dan pahala, namun apa yang perlu difikirkan ialah mesej yang perlu disampaikan. Itulah yang diperhatikan ketika Kalah Dalam Menang diperdengarkan dalam AJL31. Tatkala malam itu seperti pesta 'dunia', namun sekurang-kurangnya kehadiran Kalah Dalam Menang boleh memberi 'sentapan' seketika untuk hadirin berfikir tentang diri.

Walau apapun, Kalah Dalam Menang telah buat yang terbaik dalam AJL31. Sesuai dengan judulnya, Mawi dan Syamsul telah berjaya menjadi kalah dalam menang di AJL31! - WARTAKOPI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda