Terkini!

Kopi Pak Belalang Antara Penaja Gema Gegar Vaganza

Gema Gegar Vaganza telah pun bermula sejak 8 April 2017. Buat julung-julung kalinya, saluran Islamik nombor satu di Malaysia, Astro Oasis membuat satu pertaruhan berani dengan membawakan sebuah program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti TV, ‘Gema Gegar Vaganza’ yang bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras.

Mengangkat tema ‘Gema Irama Terindah’, ‘Gema Gegar Vaganza’ menampilkan 10 barisan peserta yang terdiri daripada berkumpulan dan solo yang mana mereka akan berentap dalam sebuah persembahan nyanyian mingguan bagi merebut gelaran Juara.

Seleksi lagu yang bakal dipersembahkan terdiri daripada lagu-lagu yang berunsurkan ketuhanan dan mengandungi mesej-mesej positif yang boleh dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. Bergerak seiring dengan peredaran zaman dan bagi menyuntik elemen komersial serta moden, setiap persembahan daripada peserta akan diiringi oleh ‘live band’.

Melalui GGV, para peserta akan turut diuji dengan tugasan lagu yang mencabar mengikut kepada tema mingguan yang diberikan.

ASTRO OASIS INGIN KUKUHKAN REVOLUSI RANCANGAN ISLAMI

Bercerita mengenai buah tangan terbaharu Astro Oasis ini, Ahmad Fuad Mat Ali, Pengurus Saluran Astro Oasis berkata,

“Memasuki ulang tahun ke-10 saluran Astro Oasis, kami mahu terus memperkukuhkan matlamat kami dalam merevolusikan cara penyampaian mesej kebaikan yang berunsur islamik kepada masyarakat di luar sana," ujarnya.

Untuk penganjuran kali pertama ini, pentas ‘Gema Gegar Vaganza’ akan digegarkan oleh barisan penyanyi yang pernah mewarnai industri hiburan tanah air dan mempunyai portfolio seni yang cukup disegani. Empat peserta berkumpulan terdiri daripada Hijjaz, Saujana, Mirwana dan UNIC. Mereka akan ditentang sengit oleh peserta solo yang bukan calang-calang orangnya seperti Hafiz Hamidun, Ana Rafali, Bienda, Azmi Caliph Buskers, Izam EYE dan penyanyi muda yang popular dengan lagu Alhamdulillah, Wani.

 Menarik lagi, berinspirasi daripada sambutan hangat yang diterima program nyanyian yang berjaya mencipta fenomenya yang tersendiri; Gegar Vaganza, ‘Gema Gegar Vaganza’ turut menerapkan format dan konsep yang sama seperti program tersebut menerusi aspek penerbitannya.

Elemen-elemen yang sinonim dengan Gegar Vaganza seperti persembahan pembukaan oleh pengacara dan juga elemen kejutan akan turut dibawa masuk ke dalam program ‘Gema Gegar Vaganza’.

Mengulas mengenai perkara ini, Fuad Ali berkata,

“Gema Gegar Vaganza merupakan sebuah program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti pertama di saluran Astro Oasis. Oleh itu, amat penting bagi kami mendapatkan sumber rujukan yang bagus untuk memastikan kualiti program yang kami tawarkan setara dengan program realiti nyanyian terbitan Astro yang lain. Kejayaan luar biasa yang dikecapi oleh program Gegar Vaganza yang telah tiga musim bersiaran sangat mengagumkan. Oleh itu, pihak produksi memutuskan untuk mengadaptasi format program Gegar Vaganza yang sudah terbukti keberkesanannya dan memperkenalkan program ‘Gema Gegar Vaganza’.

 Meskipun begitu, program ‘Gema Gegar Vaganza’ turut menampilkan perbezaan terutamanya dari segi pendekatan dan kandungan program yang mana kandungannya dilihat lebih bersifat Islamik. Sebagai contoh, lirik lagu haruslah mengandungi unsur nasihat dan aksi serta pemakaian yang ditampilkan dalam program ini baik daripada peserta mahupun pengacara haruslah selari dengan ajaran Islam. Daripada segi pemilihan peserta juga berbeza, di mana kami mengalu-alukan penyertaan semua anak seni tanpa mengira latar belakang atau genre muzik yang pernah mereka tampilkan sebelum ini.”

KOPI PAK BELALANG ANTARA PENAJA UTAMA GGV


Bagi GGV ini, Kopi Pak Belalang dan Serai Mas berbesar hati menjadi penaja utama kali ini. Rancangan GGV ini menampilkan pengacara seperti Siti Nordiana, Achey (Bocey) dan Fikri *Lawak Solo).

Juara Gema Gegar Vaganza bakal membawa pulang hadiah wang tunai yang cukup lumayan iaitu sebanyak RM100,000.00 beserta trofi. Naib juara pula akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.00 beserta trofi. Hadiah tempat ketiga akan mendapat wang tunai bernilai RM20,000.00 beserta trofi manakala tempat keempat pula bakal meraih wang tunai RM10,000.00 beserta trofi. Pemenang bagi kategori ‘Pilihan Penonton’ yang diundi menerusi sistem dalam talian pula akan membawa pulang wang tunai RM5,000.00.

Moga rancangan ini mencapai matlamat yang sebenar.-WARTAKOPI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda