Tempoh dua tahun untuk menghasilkan sebuah album bukanlah tempoh yang singkat. Tapi bagi kumpulan Rabithah, tempoh dua tahun itu satu tempoh yang perlu dalam memastikan album yang diterbitkan berkualiti serta diterima ramai.
Walaupun pada awalnya sekadar hadir dengan beberapa buah single, namun atas komitmen yang tinggi semua ahli, mereka akhirnya berjaya tampil dengan album The Album.
Rabithah dianggotai oleh lima anak muda iaitu Ridwan, Yasin, Akmal, Hakim dan Mahdi. Dalam The Album, Rabithah terlibat secara langsung dalam penerbitannya terutama dari segi penulisan lirik dan penciptaan lagu.
BUAT ALBUM BERSUNGGUH-SUNGGUH
Dalam menghasilkan sebuah album, mereka sendiri akui bukanlah mudah. Kos yang diperlukan juga tinggi, melebihi RM30,000.
Hal ini menyebabkan pada asalnya, Rabithah bercadang mahu memuatkan lima atau tujuh lagu sahaja dalam album ini. Namun setelah berbincang, maka akhirnya mereka sepakat memuatkan lebih dari tujuh buah lagu.
"Bila kami bincang semula, kami lihat, artis-artis barat, K-POP dan sebagainya, mereka sangat teliti dan sungguh-sungguh. Album mereka hampir tiap tahun release, dan ada 17 bahkan 20 track pun ada.
Betapa bersungguhnya mereka. Lalu kami muhasabah, kalau mereka boleh buat sungguh-sungguh begitu, mengapa kami tidak? Maka, kami pun buat keputusan untuk memuatkan 15 lagu dalam album kali ini," menurut Rabithah.
Mereka yakin sesuatu yang dilakukan bersungguh-sungguh, ia akan memberi kesan positif buat peminat.
CUKUPLAH SENGKETA LUAHAN HATI RABITHAH
Menurut Rabithah. The Album mempunyai sebuah lagu yang cukup bermakna yang berjudul Cukuplah Sengketa. Lagu tersebut dihasilkan pada tahun 2013.
"Lagu ni sebenarnya luahan hati kami, betapa hati kami sedih dan pilu melihat umat islam bergaduh sesama sendiri, mengutuk mencaci maki serta fitnah sesama sendiri, hanya semata-mata kerana berbeza pandangan atau parti. Hilang adab, hilang akhlak, hilang segalanya. Musuh pula terus bertepuk tangan, umat semakin tenat, kita terus berdebat perkara furu', kedengkian terus tersemat, hingga hilang ruh umat," ujar Rabithah lagi.
The Album merupakan album kedua terbitan Tarbiah Sentap Records selepas kumpulan Fetya. Album ini boleh didapati melalui Facebook rasmi Rabithah. - WARTAKOPI




No comments:
Post a Comment
Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.