Terkini!

Apabila Saujana dan UNIC Buat Reunion....

Bukan mudah untuk bertahan dalam satu-satu kumpulan. Apatah lagi setiap ahli kumpulan bekerja dalam bidang-bidang yang berlainan.

Sudah menjadi resam dalam berkumpulan, pertukaran ahli silih berganti merupakan satu perkara biasa dalam memastikan nama kumpulan terus wujud dalam industri kumpulan.

Bagi kumpulan nasyid Saujana dan UNIC, masing-masing telah lalui pertukaran ahli kumpulan dalam memastikan kumpulan masing-masing terus wujud dalam memperjuangkan genre lagu ketuhanan.
Saujana ditubuhkan pada 16 April 1997, anggota-anggota asal kumpulan Saujana berasal dari sebuah kumpulan nasyid sekolah, All For Ummah dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.

Anggota asal Saujana ialah Azalinor, Suffian, Hakimi, Idzwan dan Faizul. Selepas sepuluh tahun bersama, Hakimi, Idzwan dan Faizul yang masing-masing menceburi bidang profesional, mengambil keputusan berundur dari Saujana pada tahun 2007 manakala Suffian dan Azalinor berada di dalam industri yang sama.

Suffian dan Azalinor kekal bersama Saujana, Perjuangan mereka diteruskan bersama Najran, bekas anggota Rast, dan Adi, bekas anggota kumpulan Farhan.

Kumpulan UNIC pula bermula pada tahun 2002 ketika anggota-anggota asalnya iaitu Fitri, Bazli, Wan Shah dan Apen menganggotai kumpulan Dzil Afnan, sebuah kumpulan nasyid tetap di Sekolah Menengah Agama Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. Ketika itu, UNIC dilamar untuk menjadi artis Hijjaz Records.

UNIC mengalami pertukaran ahli buat pertama kali apabila Apen mengundur diri dan digantikan dengan Hafiz Hamidun. Kemudian Wan Shah pula berundur dan digantikan dengan Fadzli.

Pada tahun 2007, UNIC sekali lagi menghasilkan album keempat yang berjudul Tika Itu. Sayangnya, Hafiz Hamidun telah mengambil keputusan untuk meninggalkan UNIC untuk memulakan karier solonya.

Tempat Hafiz digantikan dengan Alan, bekas ahli Rast. Pada tahun yang sama, Mohamad Fitri bin Mohamad Haris yang lebih dikenali sebagai Fitri atau Pit telah mengumumkan pengunduran beliau dari UNIC.

UNIC kehilangan Fadzli pada tahun 2015, dan tempatnya digantikan oleh Najdi.

TAHUN 2017: SAUJANA DAN UNIC SATUKAN BEKAS-BEKAS AHLI

Saujana bersatu hasilkan single Satu Dalam Perjuangan. Ihsan: Facebook Saujana

Pada tahun 2017, dua kumpulan peserta Gema Gegar Vaganza (GGV) ini membuat penampilan istimewa dengan menghasilkan sebuah single.

Menariknya, kedua-dua kumpulan ini menghimpunkan semula ahli-ahli lama untuk reunion dalam sebuah single lagu.

Saujana menggabungkan semula semua ahli asalnya iaitu Azalinor, Idzwan, Hakimi, Suffian, Faizul, Najran dan Adi, menerbitkan single berjudul Satu Dalam Perjuangan.

Satu Dalam Perjuangan merupakan sebuah lagu bermesejkan kemanusiaan. Dengan rentak ala R&B dan nasyid, Saujana menggunakan seluruh vokal ahli-ahli reunion mereka untuk lagu ini. Gabungan semuanya menjadikan Satu Dalam Perjuangan harmoni dan lengkap.

UNIC buat reunion dalam konsert #REUNIC. Ihsan foto: Soofi Media

Bagi UNIC pula, reunion mereka menghasilkan sebuah single dan sebuah konsert diberi nama REUNIC. Konsert REUNIC telah diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 23 April 2017.

Konsert REUNIC menggabungkan UNIC (Najdi, Bazli dan Fakhrul) bersama 3 bekas anggota mereka iaitu Hafiz Hamidun, Fadzli dan Fitri Haris. Malah ketika konsert berlangsung, mereka turut memperkenalkan single khas berjudul Bertemu Semula.

Dalam laporan Soofi Media, perbincangan konsert REUNIC diadakan dalam tempoh singkat.sidang media dibuat pada 4 April 2017 dan segala promosi dan hal berkaitan juga memakan masa yang singkat. Bahkan lagu baharu #REUNIC, Bertemu Semula yang dirakam juga dibuat dalam tempoh masa tersebut.

Kemunculan single Saujana dan UNIC ini secara tak langsung mampu mengubat rindu dan menggamit semula memori tentang perjalanan seni dua buah kumpulan tersebut.

Diharapkan perjuangan Saujana dan UNIC terus maju dalam pentas GGV dan terus mara selepas berakhirnya pentas tersebut nanti. -WARTAKOPI.

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda