Terkini!

Sarawak Merdeka Tetap Merdeka 1963-2017


Menelusuri sejarah pejuang kemerdekaan adalah kebiasaan apabila tibanya hari kebesaran negara seperti hari Merdeka. Jauh di sudut kemenangan dan kesenangan (mungkin) yang kita rasai kini tersimpan jerit payah dilalui mereka yang bersama memperjuangkan kemerdekaan.

Sejarah tidak mampu menipu sehinggalah ia dimanupulasikan untuk kepentingan mereka yang jahat. Rosli Dhobi seorang pembunuh, Rosli membunuh untuk merdeka, Rosli guna jalan pintas, dan bermacam lagi tuduhan liar yang tempang untuk generasi sekarang memahami usaha kumpulan pejuang kemerdekaan Sarawak dahulu.

Menurut Sanib Said, "Peristiwa bersejarah yang harus dikenang dan dihargai adalah peristiwa Rosli Dhoby melancarkan asasinasi berani mati terhadap gabenor penjajah yang merampas hak kemerdekaan Sarawak Darul Hana."

Asasinasi menurut kamus bahasa Inggeris Cambridge ialah: the murder of someone famous or important: an assassination attempt the assassination of the opposition leader. Maka jelas ia adalah sebuah bentuk perjuangan atas dasar untuk menuntut hak asasi atau lebih tepat untuk apa yang dilakukan oleh Rosli Dhobi dan Rukun 13 adalah menuntut kemerdekaan dan kebebasan dari mana-mana penjajah British atau Keluarga Brooke sendiri.

Ada juga golongan yang menyifatkan kumpulan yang menentang British ini adalah mereka yang mahukan pemerintahan dikembalikan kepada Keluarga Brooke. Perlu diingatkan fakta yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak termasuk generasi baru kini adalah, kelompok pembesar Melayu Sarawak yang sedari zaman Kesultanan Brunei tidak mahu negeri ini jatuh ke tangan penjajah.

Mereka sanggup mempertahankan jawatan mereka sehingga di dalam pemerintahan Brooke mereka mampu dan masih lagi memegang jawatan tertinggi termasuk Majlis Tertinggi Kerajaan Negeri Sarawak.

Gelaran seperti Datu Patinggi, Datu Bandar, Datu Hakim, Datu Imam dan sebagainya dikekalkan. Kuasa yang mereka pertahankan bukan kerana kedudukan dan kepentingan peribadi, tetapi ia jelas untuk kepentingan umat Islam yang ada di negeri ini.

Selepas penyerahan Sarawak oleh Vyner Brooke pada 1946 dengan habuan diterimamya sebanyak Pound Stelling 200,000 kumpulan Melayu Sarawak ini merasakan ia satu penghinaan kerana maruah Negara Sarawak boleh dijual beli. Maka munculah gerakan menghalau sepenuhnya penjajah dan saki bakinya dari Negara Sarawak.

"Kebangkitan kebangsaan Melayu Sarawak pada mulanya dipimpim oleh Datu Patinggi Abang Abdillah dan disokong oleh Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS). Mereka kemudian telah disertai oleh Barisan Pemuda Melayu Sarawak, Persatuan Melayu Miri, Persatuan Melayu Limbang, Persatuan Melayu Simanggang dan Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPMS). Perjuangan ini telah menjadi sebuah pergerakan nasionalisme yang mereka namakan Gerakan Anti-Serahan."-Sanib Said

Lihat, kronologi penentangan itu bukan kerana penyerahan Negara Sarawak kepada British, tetapi ia telah lama membuak semenjak kali pertama kaki "orang putih" menjejak bumi Sarawak dan tangan yang banyak mengaut keuntungan hasil negara ini untuk kekayaan peribadi keluarga Brooke.

Keadilan untuk Rosli Dhobi tidak diberikan, dunia gempar seorang remaja bawah umur membunuh wakil kerajaan British yang pernah menjadi Gabenor di Palestin hanya kerana ingin menunjukan protes dan bantahan agar Sarawak di Merdekakan.

Rosli dan rakan-rakan telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 2hb Mac 1950 Sekali lagi tarikh keramat untuk Negara Sarawak merdeka pada usia 54 tahun tahun ini.

Bagaimanakah sumbangan generasi muda untuk memastikan kelestarian pembangunan dan kestabilan Sarawak akan terus dinikmati? Kesefahaman kita usahlah dicanang hanya sekadar kita pelbagai kaum di Sarawak boleh makan bersama walau berlainan agama dan bangsa, boleh meraikan perayaan bersama walau berbeza budaya namun, kesefahaman sebenar adalah bagaimana kita mahu Sarawak pasca merdeka pemerintahannya tidak menindas mana-mana agama dan kaum, adil dan saksama dalam memberi rasa hasil negeri kepada rakyat jelata, dan paling penting tiada mana-mana kaum yang menjadi penghasut untuk mendominasi dalam apa juak bentuk untuk merampas pemerintahan tanpa menggunakan jalan demokrasi yang sedia ada.

Semangat Sarawak tanah airku sepatutnya tersemat bagai keramat seperti semangat pejuang yang memerdekakan kita hari ini. Hayatilah dari sudut kebenaran sebenar usaha golongan pejuang terdahulu agar kita mengambil ibrah dari peristiwa sejarah dan bukan hanya untuk difilemkan, dikenang dan ditangisi serta terharu sahaja. Ingatlah sejarah mungkin berulang!

“SELIMUTILAH JENAZAH ANAKANDA DENGAN PANJI KEBANGSAAN SARAWAK.”-Isi Surat Rosli Dhobi

 "MERDEKA TETAP MERDEKA!"- Isi Surat Awang Ramli.

*Artikel ini ditulis oleh Zharudin Narudin, Timbalan Ketua Pemuda PAS Sarawak 2017-2019. Dipetik dari Harakahdaily.

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda