Terkini!

Dana Usahawan: PEKIRA Nafi

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA), Mohd Ridzuan Abdullah mengecam sikap pihak-pihak tertentu yang cuba mencemar nama baik nama parti itu untuk tujuan tersembunyi.

Menurut laman web rasmi PEKIRA, Ridzuan menyatakan bahawa ada individu-individu tertentu telah menggunakan nama PEKIRA untuk mengutip keahlian sebuah parti politik bagi tujuan Pilihan Raya Umum (PRU) yang boleh berlaku bila-bila masa.

Modus operandi yang digunakan oleh pihak terbabit katanya, adalah dengan menjual nama PEKIRA kononnya parti ini ada menawarkan dana untuk perniagaan kepada usahawan. Katanya, perkara itu telah terbongkar apabila beliau sendiri telah mengetahui bahawa aktiviti dilakukan kumpulan itu telah mencapai keahlian sebanyak 120,000 dan hanya mensasarkan 80,000 keahlian lagi.

“Ramai yang bertanya kepada saya berkenaan dana usahawan ini. Apa yang boleh saya katakan adalah ‘tidak tahu’ kerana dana seperti itu tidak ada. PEKIRA ini pro kerajaan dan kami membantu ahli dengan memberikan pendedahan kepada mereka dengan dana yang sudah disediakan kerajaan untuk golongan usahawan ini tidak kira yang baru bermula atau mahu mengembangkan perniagaan mereka.

“Kerajaan sudah menyediakan pelbagai dana untuk golongan usahawan ini dan ada antara mereka tidak tahu mengenai dana tersebut. Jadi ini adalah cara kami untuk membantu ahli sekaligus merealisasikan hasrat Perdana Menteri bagi membantu golongan usahawan ini,” katanya.

Mohd Ridzuan yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) berkata, parti hanya mengeluarkan surat sokongan kepada ahli yang memohon untuk mendapatkan bantuan kerajaan dan surat tersebut hanya diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Beliau mendakwa surat sokongan ini sudah dipraktiskan dalam semua parti komponen Barisan Nasional tetapi wujud kekangan birokrasi iaitu ahli sukar menemui Ketua Bahagian menyebabkan golongan peniaga ini sukar mendapat kemudahan yang sedia ada itu.

“Konsep PEKIRA ini tiada birokrasi atau sekatan. Mereka yang layak memohon dana usahawan ini akan mendapat surat sokongan daripada saya sebagai presiden untuk memastikan mereka dapat pinjaman atau dana atau skim latihan yang disediakan kerajaan. “Bagi mendapatkan dana yang besar, kami akan bantu mendapatkan sokongan daripada Perdana Menteri kerana banyak kemudahan yang sudah sedia ada,” katanya.

APA ITU PEKIRA?

Bendera PEKIRA

PEKIRA atau nama rasminya Parti Ekonomi Rakyat Malaysia ditubuhkan pada 21 Jun 2017 oleh Mohd Ridzuan. Tujuan asal penubuhan PEKIRA ialah membela nasib golongan usahawan khususnya dalam kalangan belia bawah 40 tahun. Langkah itu berikutan golongan tersebut didakwa sering dipandang sepi oleh parti-parti lain.

Penubuhan parti itu juga merupakan rentetan daripada desakan ahli-ahli Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) dari seluruh negara yang mahukan sebuah parti alternatif untuk membela golongan tersebut.

PEKIRA turut mengumumkan bahawa parti tersebut sebagai parti pro-Barisan Nasional (BN). Pendaftaran PEKIRA masih belum diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sehingga hari ini. - WARTAKOPI

0 komentar:

Post a Comment

Assalamualaikum & salam sejahtera,
Komenlah dgn hikmah,admin tak bertanggungjawab atas komen yang dikeluarkan oleh anda