Terkini

Post Top Ad

Your Ad Spot

25 February 2019

Kenali Parti Sosialis Malaysia (PSM)


Parti Sosialis Malaysia (PSM) ialah sebuah parti politik yang berasaskan prinsip sosialisme dan berasiprasikan perjuangan rakyat yang berteraskan keadilan sosial. PSM memperjuangkan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan demokrasi sejati, demi membebaskan rakyat daripada segala bentuk penindasan dan membina sebuah masyarakat yang benar-benar sejahtera untuk semua.

Bendera PSM

PSM ditubuhkan pada tahun 1998, oleh aktivis-aktivis yang bergiat dalam gerakan perjuangan rakyat marhaen. Aktivis-aktivis daripada kumpulan masyarakat seperti Suara Warga Pertiwi (SWP), Alaigal dan Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), yang telah terlibat dalam perjuangan masyarakat ladang dan peneroka bandar bertahun-tahun lamanya, telah membentuk satu jaringan dan menganjurkan aksi Hari Pekerja 1994, satu aksi jalanan sambutan hari bersejarah bagi golongan pekerja yang berlangsung untuk pertama kalinya selepas dua dekad pada masa itu. Jaringan gerakan rakyat tersebut kemudiannya berkembang dan akhirnya berputus untuk menubuhkan PSM, sebuah parti politik yang memperjuangkan kepentingan kelas pekerja dan rakyat marhaen.

Walaupun PSM ditubuhkan pada tahun 1998, tetapi ia mengambil tempoh masa 10 tahun untuk mendaftarkan PSM sebagai sebuah parti politik yang sah untuk bertanding dalam pilihanraya. Walaupun tidak dibenarkan untuk didaftarkan pada awalnya, aktivis PSM tidak berputus asa dalam memperjuangkan pendaftaran parti di samping meneruskan usaha memperjuangkan isu-isu rakyat. PSM merupakan parti politik pertama di Malaysia mencabar Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dalam mahkamah kerana dinafikan pendaftaran. Dengan kempen menuntut kebebasan berpersatuan yang mendapat sokongan hebat dari dalam dan luar negera, PSM akhirnya didaftarkan pada tahun 2008.

Penglibatan PSM dalam memperjuangkan isu-isu rakyat ini, bertujuan bukan sahaja mempertahankan hak dan kesejahteraan rakyat daripada ancaman kerakusan golongan atasan, tetapi juga untuk memperkasakan rakyat bawahan supaya rakyat itu sendiri dapat memperjuangkan kepentingan bersama masyarakat dan membawa perubahan yang sebenar.

No comments:

Post a Comment

Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Post Top Ad



Your Ad Spot

Pages