![]() |
| ALBUM: INSKRIPSI LANGIT
ARTIS: MASRIEZAN
BINTANG: 4/5 BINTANG
|
Kesibukan kerjayanya sebagai seorang guru Pendidikan Islam di salah sebuah sekolah di Sabah tak menghalangnya untuk terus berkarya dalam bidang seni nasyid.
Bagi Masriezan Masri, minatnya dalam bidang nasyid sejak zaman sekolah menengah lagi.
Penglibatan Masriezan Masri dalam nasyid bermula sejak di SMKA Maahad Hamidiah lagi. Ketika itu, dia menyertai Mirwana Generasi 5 (G5) dari tahun 1995 hingga 1996. Pada tahun 2005, dia tampil semula bersama Mirwana G7 sebagai penyanyi sambilan.
Artis nasyid kelahiran Sabah ini kemudian bersama Varianz pada tahun 2011. Bersama kumpulan itu, mereka sempat merakamkan sebuah album berjudul Dunia Baru terbitan Arteffects Sdn Bhd
Dia akhrinya bergerak secara solo dan muncul dengan album sulung berjudul Mengejar Impian sekitar tahun 2014.
Kini, Masriezan tampil lagi dengan album solo keduanya, Inskripsi Langit.
Jika dirujuk dalam Kamus Dewan, inskripsi membawa maksud sesuatu ungkapan yang ditulis atau diukir pada sesuatu permukaan. Justeru, Inskripsi Langit bolehlah digambarkan sebagai sesuatu karya yang ditulis untuk menyampaikan mesej tertentu.
Menurut Harian Ekspres, Masriezan menyatakan bahawa album Inskripsi Langit kali ini merupakan coretan kisah hidupnya.
Inskripsi Langit membuka tirainya dengan Lagu Cinta (duet Varianz). Lagu ini merupakan lagu yang turut sama terkandung dalam album sulung Varian, Dunia Baru pada tahun 2011. Cuma kali ini, lagu ini diberikan nafas baru.
Album ini diteruskan lagi dengan lagu Jom Solat. Lagu ini cukup menarik kerana menampilkan suara latar kanak-kanak. Malah liriknya cukup mudah untuk difahami dan dihafal oleh golongan kanak-kanak.
Lagu-lagu lain yang terkandung dalam album ini ialah Maafkanku, Rasulullah, Cinta Sempurna, Inskripsi Langit, Insan Teristimewa, Insan Teristimewa 2019 dan Mencintaimu. Turut dimuatkan ialah sebuah minus one iaitu Maafkanku.
.
Album ini diterbitkan sendiri oleh Masriezan Masri di bawah label Sparx Studio. Menurut Masriezan, 10% daripada hasil jualan setiap album ini akan disumbangkan kepada maahad tahfiz tertentu.
Album ini diterbitkan dalam bentuk fizikal (cakera padat) manakala platform digital akan menyusul kemudian. Hubungi Masriezan Masri di laman media sosial Facebooknya bagi mendapatkan Inskripsi Langit. Memang berbaloi! - WARTAKOPI



No comments:
Post a Comment
Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.