Terkini

Post Top Ad

Your Ad Spot

04 April 2019

Menyingkap Sejarah 20 Tahun Parti Keadilan Rakyat


Gelombang Reformasi yang tercetus pada tahun 1998 merupakan titik permulaan bagi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 hakikatnya hanyalah sekadar perencah kepada kebangkitan gelombang reformasi rakyat.


Setelah Anwar Ibrahim dipecat pada 2 September 1998 dan akhirnya ditangkap pada 20 September 1998, rakyat secara besar-besaran turun ke jalanraya mengadakan demonstrasi menentang kezaliman. Pada mulanya, tiada sebarang usaha ketika itu untuk menggerakkan sebuah landasan atau “platform” politik untuk menyatukan kesemua pejuang-pejuang reformasi yang menuntut keadilan.

12 September 1998, Deklarasi Permatang Pauh dibacakan dan Gerakan REFORMASI dilancarkan secara rasmi.

Pada 20 September 1998,himpunan terbesar di dalam sejarah Malaysia di Dataran Merdeka dan Masjid Negara diadakan. Anwar Ibrahim kemudiannya ditahan di bawah ISA apabila pihak polis menyerbu rumahnya di Bukit Damansara.

Logo GERAK

Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) ditubuhkan pada 27 September 1998. GERAK menggabungkan parti pembangkang utama iaitu PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM), DAP, beberapa NGO dan aktivis-aktivis sosial.GERAK ditubuhkan di Kolej Darul Hikmah.

Pada 2 Oktober 1998 di Hotel Allson Klana Resort, Nilai, Negeri Sembilan, sekumpulan anak muda berkumpul. Mereka menyarankan untuk melahirkan satu wadah politik yang baru untuk menggabungkan kesemua pendokong reformasi dibawah satu parti yang sah.

Pada 18 November 1998, di Pejabat Cenpeace, Petaling Jaya, satu mesyuarat khas telah diadakan yang dihadiri oleh  Wan Azizah Wan Ismail,  Mohd Anuar Tahir,  Marina Yusuf, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek, Nurul Izzah Anwar dan Norazmi. Perbincangan lebih memfokuskan untuk bagaimana menyatukan perjuangan pendokong kebenaran dan keadilan. Di dalam mesyuarat ini, Dr. Mohamad Rafie mencadangkan untuk melahirkan satu parti politik yang sah sebagai landasan untuk pendokong-pendokong reformasi. Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menyatakan ia amat sukar dilakukan kerana sudah pasti pemerintah tidak akan meluluskan pendaftaran sebuah parti baru.

Dr. Mohamad Rafie menyarankan supaya usaha dibuat untuk menubuhkan beberapa buah parti baru tetapi ia akan hanya sebagai satu “camouflage”. Usaha sebenar adalah untuk mengambil alih sebuah parti politik yang “dormant”. Mesyuarat bersetuju diatas saranan ini dan Tuan Haji Mohd Anuar Tahir telah diamanahkan untuk menyelaras untuk merealisasikan matlamat ini.

Hasilnya, tiga parti baru cuba didaftarkan iaitu Parti Malaysia Baru (PMB) dengan Dr. Mohamad Rafie Bin Ab Malek sebagai Presiden Penaja, Parti Himpunan Angkatan Keadilan (HAK) dengan Norizam Yasin sebagai Presiden Penaja, dan  Parti Angkatan Reformasi Malaysia (ARM) dengan Suhaimi Salleh sebagai Setiausaha Agong Penaja.


Pada 10 Disember 1998, Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) ditubuhkan dengan diketuai oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail. ADIL turut berusaha didaftarkan sebagai parti namun gagal.

AMBIL ALIH PARTI IKATAN

Usaha penubuhan tiga parti baru ini telah mendapat liputan meluas media perdana dimana matlamat yang sebenarnya telah berjaya iaitu sebagai usaha “camouflage” kerana di dalam masa yang sama usaha secara rasmi telah dibuat untuk mengambil alih Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN).

Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN) merupakan sebuah parti politik kecil yang ditubuhkan pada 28 Februari 1990 oleh Abdul Wahab Yunus setelah gagal memenangi pemilihan parti HAMIM.  Pada asalnya, parti tesebut ditubuhkan menggunakan singkatan IMAM dengan berpusat di Kuala Lumpur. Namun, ROS telah menolak nama tersebut dan singkatan IKATAN telah digunakan.

Persidangan Agung Tahunan untuk menukar Presiden asal Tuan Haji Abdul Wahab Yunus kepada beberapa individu yang tidak dikenali terbabit di dalam politik.

Nordin Ismail telah dipilih selaku penama Presiden manakala Mohd Shah Amin selaku Setiausaha Agongnya sementara menunggu peralihan untuk ditukar kepada Presiden sebenar Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Tuan Haji Mohd Anuar Tahir sebagai Setiausaha Agong yang pertama.


Pada 4 April 1999, Parti Keadilan Nasional (keADILan) dilancarkan di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR)

Selepas Pilihan raya 1999, kesedaran timbul tentang keperluan Parti Keadilan Nasional dan PRM bergabung, berdasarkan komitmen mereka yang sama terhadap Reformasi, menentang ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa.

 Pada 3 Ogos 2003 Keadilan dan PRM melancarkan Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur.

Kewujudan PKR bukan sekadar atas susuk tubuh ikon parti, Anwar Ibrahim. Tetapi ideologi parti itu menyebabkan PKR masih kekal relevan.

Sukar mencari sebuah parti yang berjaya menggabungkan pelbagai kaum dalam satu parti induk. Jika dahulu, Onn Jaafar cuba menggabungkan pelbagai kaum dalam Parti Negara namun gagal.

Hanya PKR berjaya menunjukkan kejayaan menjadi parti pelbagai kaum.

Adakah PKR akan terus relevan untuk masa akan datang? Hanya masa yang akan menentukan. - WARTAKOPI.

No comments:

Post a Comment

Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Post Top Ad



Your Ad Spot

Pages