Kisah sahabat Rasullulah SAW, Bilal bin Rabah, muadzin pertama dalam Islam yang berdepan dengan ujian berat selepas diketahui pengIslamannya, diangkat menjadi tema bagi lagu single pertama kumpulan Afad and Friends.
Single yang berjudul Rindu Bilal berkisarkan tentang kerinduan Bilal bin Rabah ke atas Baginda Rasullulah SAW selepas kewafatannya. Lantaran terlalu merindui Rasulullah SAW, juruazan yang dilantik oleh Baginda ini termimpi-mimpikannya. Dalam erti kata lain, cinta Bilal bin Rabah kepada Rasulullah dan Islam, tidak pernah seinci pun berkurangan, biar diuji dengan seberat-berat dugaan, Bilal teguh dengan pegangan agamanya.
Lagu yang penuh falsafah ini dicipta oleh Shahrizan Sahamat dengan lirik yang ditulis oleh Afad sendiri.
Menurut Afad, proses merakamkan lagu tersebut mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar dua tahun lantaran ahli kumpulan terikat dengan komitmen masing-masing.
Namun kata Afad, lirik lagu tersebut ditulis dalam tempoh dua hari sekembalinya beliau daripada Kota Suci Mekah.
“Saya mendapat inspirasi dan ilham menulis kisah Bilal bin Rabah apabila pulang dari Mekah dan kemudian baharulah membuat melodinya.
“Namun urusan untuk merakamkan lagu ini mengambil masa yang lama kerana anggota kumpulan ini punya kerjaya sendiri. Itu cabaran yang terpaksa kami lalui sehingga menjangkau masa hampir dua tahun untuk disiapkan,” kata Afad yang juga vokalis bagi kumpulan Afad and Friends.
![]() |
| Ketika pelancaran Rindu Bilal. Sumber: Saudagar Seni |
Selain Afad, turut menyertai kumpulan Afad and Friends ialah Mohd. Sukhairi Abdul Samat (Totoy) sebagai gitar, Mohd. Khairul Anuar Mohd. Ramly (Lone – bass), Mohd. Fuad Mohammad (Ad – keyboard dan piano), Mohd. Mahyudin Mohd. Mokhtar (Mai Fusionista – percussion) dan Shahrizan Sahamad (Ijan Perkusi – traditional percussion).
Afad & Friends ditubuhkan pada tahun 2010. Pada awalnya, mereka bergerak dalam satu kumpulan atas nama Gemersik Sufi.
Pada tahun 2015, nama itu diimprovisasi menjadi Afad & Friends. - WARTAKOPI




No comments:
Post a Comment
Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.