Terkini

Post Top Ad

Your Ad Spot

11 May 2019

Al-Jawaher: "Kami terbitkan Lambaian Raudah Yang Diharap Mampu Mendekatkan Kami Dengan Pendengar"

Wajah terkini al-Jawaher. Sumber: Berita Harian Singapura.

Al-Jawaher, satu nama otai nasyid yang muncul pada era 1970-an.Trend 1970-an menyaksikan kumpulan wanita sebagai peneraju genre itu hingga diikuti kemunculan banyak grup nasyid lelaki di Malaysia bermula pada pertengahan 1980-an. Mereka sebaris dengan tiga lagi kumpulan, Al Mizan dan Orkes Murni serta Hidayah yang sama-sama meraih tumpuan ramai termasuk kelompok pendengar muda.

Kumpulan ini hakikatnya tidak pernah dibubarkan. Mereka masih menerima undangan persembahan cuma dalam skala yang kecil.

Setelah empat dekad dalam industri hiburan, Al-Jawaher mengambil langkah berani apabila menghasilkan album baharu berjudul Lambaian Raudhah.

Menurut Berita Harian, salah seorang ahli asal yang juga penyelarasnya, Norhaiyati Yusop memberitahu, mereka bukan berhenti menyanyi, cuma tidak menghasilkan buah tangan baharu. 

“Alhamdulillah, mungkin peminat di Malaysia sangka kami sudah bersara. Tetapi ramai di Singapura tahu kami masih ligat. Boleh dikatakan dalam sebulan, ada tiga atau empat undangan yang membuatkan kadang kala tidak cukup tangan untuk memenuhi semua permintaan. Apa pun, semua itu kami rezeki dan sebahagian daripada tanggungjawab apatah lagi mampu memuaskan hati pendengar sampai sekarang,” katanya.

BUAH TANGAN TERAKHIR AL-JAWAHER

Kelahiran album Lambaian Raudhah merupakan buah tangan terakhir bagi kumpulan lagenda ini. Kehadiran album baru itu turut membawa Al-Jawaher hadir ke Putrajaya untuk majlis pelancaran.

“Selepas kali terakhir masuk studio pada 1989, kami terbitkan Lambaian Raudah yang diharap mampu mendekatkan kami dengan pendengar. Kami bukan lagi muda, jadi sedikit sebanyak album yang memuatkan empat dendangan ini dapat mengekalkan momentum dalam arus perdana,” kata seorang lagi anggotanya,Habibah.

Album Lambaian Raudhah mengandungi empat buah lagu iaitu Lambaian Raudah, Bulan Ramadhan, Pulang Ke Pangkal Jalan dan Salam Aidilfitri. Album ini dirakamkan di Lion Studio, Singapura dan diterbitkan oleh Baj Production di Singapura.

JASA MEREKA TETAP DIKENANG....

Al-Jawaher mengakui kewujudan mereka dalam dunia hiburan adalah hasil usaha banyak pihak, terutamanya pencetus idea penubuhan Al-Jawaher, Ustaz Ahmad Karim dan isteri, Ustazah Hamidah Syukor.

Turut tak dilupakan, jasa dan pengorbanan komposer terkenal, M Nasir yang banyak menyumbang kepada kelahiran album-album Al-Jawaher sebelum ini.

“Walaupun dua anggota kumpulan ini adik M Nasir, beliau tak ‘bagi muka’ masa dalam studio. Tanpa pengalaman, memang suatu cabaran apabila masuk studio rakaman untuk album Permata pada 1980. Beliau tegas tetapi kami tidak ambil hati kena tegur M Nasir. Ini kerana kami tahu dia mahu buah tangan pertama itu memberikan impak," menurut kata Habibah lagi.

Untuk rekod, Al-Jawaher mempunyai enam buah album termasuk Lambaian Raudhah. Album pertama mereka,Permata, dirakamkan pada tahun 1980.  Album kedua, Perjalanan, pada 1981, Warna Alam (1982), Berita Gembira (1984) dan Alam Insan (1989). Alam Insan adalah album terakhir yang dirakamkan sebelum kumpulan itu 'menyepi', berehat dek kesibukan menguruskan kehidupan masing-masing. - WARTAKOPI

No comments:

Post a Comment

Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Post Top Ad



Your Ad Spot

Pages