Terkini

Post Top Ad

Your Ad Spot

15 August 2019

Kashmir: Syurga Dunia Yang Dinerakakan

Peta Kashmir

Andai kata ada serpihan syurga jatuh ke Bumi, mungkin akan jatuh di atas Kashmir. Itulah sepotong ayat yang menggambarkan Kashmir sehingga diibaratkan seperti syurga di dunia. Namun syurga dunia itu sentiasa dipenuhkan oleh konflik.

Kashmir merupakan sebuah negara yang terletak di banjaran Himalaya. Negara ini telah terbahagi kepada tiga wilayah utama, pertama wilayah yang ditadbir India (Jammu dan Kashmir), kedua wilayah ditadbir Pakistan (Azad Kashmir) dan ketiga ditadbir oleh negara China (Aksai Chin).

Kashmir merujuk kepada lembah yang terletak di antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal di kawasan paling utara negara India. Lembah ini berasal daripada sebuah lembah 'air'.

Nama Kashmir berasal daripada perkataan "Ka" membawa maksud "air", manakala perkataan "Shimir" membawa maksud "yang dikeringkan''. Maka, Kashmir membawa maksud "lembah yang dikeringkan airnya." Terdapat juga teori yang menyatakan lembah Kashmir ini berasal daripada Tasik Satisar yang telah dikeringkan airnya.

Konflik Kashmir mula tercetus ketika British mengakhiri kuasanya pada 15 Ogos 1947. British membahagikan India kepada dua buah negara iaitu negara Islam Pakistan dan negara sekular India, Kashmir pula diberi pilihan sama ada untuk menyertai India atau Pakistan.

Semasa pelan pemecahan di bawah Akta Kemerdekaan India, Kashmir bebas untuk menyertai sama ada India atau Pakistan. Maharaja (pemerintah tempatan), Hari Singh, pada awalnya mahu Kashmir untuk menjadi bebas. Perkara ini mencetus kebimbangan Pakistan yang kemudiannya melancarkan serangan gerila untuk ‘menakut-nakutkan’ pemerintah itu.

Kashmir terpaksa meminta bantuan India dan sebagai balasan, India mendesak Kashmir untuk menyertai negara itu. Maka dengan itu wujudlah Surat Ikatan Penyertaan antara Maharaja Hari Singh dan kerajaan India pada Oktober 1947 sebagai perjanjian untuk menyerahkan Jammu dan Kashmir kepada India.

Pada 27 Oktober 1947, India menghantar pasukan tenteranya yang pertama ke Kashmir untuk menduduki wilayah itu sebagai persiapan awal daripada serangan Pakis­tan dan dengan ini, bermula­nya titik konflik antara kedua-dua negara dalam perebutan wilayah Islam itu. Tarikh ini dikenang sebagai tragedi Black Day.

Pada asasnya, konflik pere­butan kawasan di wilayah berkenaan adalah dikaitkan dengan kedegilan India dan Pakistan yang enggan melepaskan wilayah Kashmir yang mereka duduki dan membenarkan penduduk Kashmir menentukan sendiri masa depan mereka.

Kedua-dua negara enggan beralah walaupun kehendak majoriti penduduk Kashmir mahukan kemerdekaan dan membentuk kerajaan sendiri tanpa campur tangan pihak luar. India dan Pakistan tidak mengiktirafkan pemilikan kawasan antara satu sama lain sehingga menyebabkan mereka terjebak dalam tiga peperangan iaitu pada 1947, 1965 dan 1971 dalam tempoh 72 tahun ini.

Peperangan pertama yang berlaku pada 1947 sehingga 1948 itu bagaimanapun berak­hir setelah kekalahan tentera India. India merujuk masalah tersebut kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapatkan bantuan.

Majlis Keselamatan PBB kemudian telah meluluskan resolusi menetapkan bahawa penaklukan dan pendudukan India ke atas Kashmir adalah tidak sah. Badan dunia itu telah meluluskan dua resolusi, satu pada 13 Ogos 1948 dan satu lagi pada 5 Januari 1949 yang diterima oleh Pakistan dan India.

Melalui kedua-dua resolusi tersebut PBB meluluskan gencatan senjata, menetapkan garisan gencatan senjata (LOC), mengisytihar wilayah itu sebagai bebas tentera dan pungutan suara dengan pengawasan PBB. Walaupun satu fasa daripada resolusi tersebut (gencatan senjata) telah dilaksanakan, namun langkah membebaskan wilayah tersebut daripada kuasa tentera dan mengadakan pungutan suara yang bebas di bawah pengawasan PBB masih tidak dilaksanakan sampai ke hari ini.

Hizbul Mujahideen, antara kumpulan pejuang Kashmir. Sumber: India Times

Pada 18 Julai 1949, Pakistan dan India menandatangani Perjanjian Karachi bagi mewujudkan Garisan Kawalan (LOC) dengan diawasi oleh pemerhati daripada PBB. Berikutan persempadanan semula itu, kawasan seluas kira-kira 141,338 kilometer persegi meliputi negeri Jammu dan Kashmir kekal di bawah India, manakala kawasan seluas 85,846 kilometer persegi meliputi kawasan Azad Jammu dan Kashmir, yang dikenali sebagai Azad Kashmir berada di bawah kawalan Pakistan.

Konflik Kashmir juga merupakan penyebab kedua-dua negara terbabit muncul menjadi negara kuasa nuklear. India menjadi negara kuasa nuklear pada 10 Mei 1998, manakala Pakistan pada 28 Mei 1998 sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara tersebut.

Salah satu keindahan Kashmir

Ekoran kedegilan kedua-dua negara tersebut, maka wujud kumpulan pemberontak Islam dan ge­rila Mujahidin Kashmir yang mahu menuntut kemerdekaan. Konflik di Kashmir menjadikan 'syurga dunia' ini dipenuhkan oleh ketakutan.

Hakikatnya, konflik ini hanya akan berakhir melalui kemerdekaan penuh negara tersebut dari cengkaman India, Pakistan dan China.

No comments:

Post a Comment

Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Post Top Ad



Your Ad Spot

Pages