Terkini

Post Top Ad

Your Ad Spot

15 September 2019

EP Badar: MBT Selitkan Mesej Di Sebalik Lagu


Muzik 'keras' tak menghalang mesej ketuhanan dan kehidupan diselitkan dalam lirik lagu tersebut. Di sebalik 'keras', ada lembutnya.

Kumpulan Main Battle Tank (MBT) membuat kelainan apabila tampil dengan mesej ketuhanan di sebalik muziknya yang cukup 'keras'.

Bagi vokalis band Main Battle Tank (MBT), Raw Curse, kelainan dalam muzik 'keras' perlu ada supaya aliran muzik ini tidak dianggap jahat oleh pandangan masyarakat.

"Sebenarnya saya ingin cuba buat kelainan sedikit. Lirik lagu lebih menjurus ke arah ketuhanan, kehidupan dan perjuangan. Saya selitkan sedikit eleman nasyid," ujarnya dalam perbualan ringkas di laman sosial.

MBT memilih military heavy metal sebagai aliran muzik mereka dan berimejkan rock habis. Tiada istilah pakaian sopan. Senang cakap, imej rock tapi liriknya 'beriman'.

Sebagai percubaan awal, kumpulan ini tampil dengan extended play (EP) pertama mereka berjudul Badar. Kalau nama pun EP, bilangan lagu sudah pasti kurang daripada enam.

Trek lagu dalam EP Badar.

EP Badar menampilkan 5 buah lagu. Trek pertama, Badar, mengisahkan tentang peristiwa Perang Badar. Lirik lagu Badar memang berlandaskan kisah peperangan tersebut. Sambil kepala bergoyang melayan muzik 'keras', kiranya dapatlah juga sedikit ilmu tentang peristiwa tersebut.

Trek kedua, Aku Metal. Lagu ini memang akan mengejutkan mereka yang pertama kali nak layan aliran muzik heavy metal. Muzik dan vokal yang keras mungkin memerlukan pendengar meneliti liriknya terlebih dahulu. Aku Metal lebih bersifat luahan hati geng 'keras' ini di mata masyarakat kita.

For God meneruskan kekerasan EP ini. Masih seperti Aku Metal, lagu ini memang heavy metal habis! Tapi hakikatnya, lagu ini lebih berkisar perjuangan mempertahankan tanah air demi seruan Tuhan.

Trek keempat Hidup Seorang Ibu Tua, lembut sedikit. Kali ini mesejnya memang jelas. Gaya vokalnya pun ala-ala nasyid. Trek kali ini tok imam boleh dengar. Lagu Hidup Seorang Ibu Tua boleh diketengahkan sebagai lagu hits untuk EP Badar.

Ukhwah dan Perjuangan menutup tirai 'keras' bagi EP pertama MBT ini. Muziknya masih metal tapi sedikit lembut. Dan mesejnya cukup positif. Ibarat nasyid rock.

Semua lagu dalam EP Badar ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Raw Curse. Khidmat Man E Amit digunakan sebagai penerbit dan penyusun muzik.

Cetakan EP dalam bentuk cakera padat (CD) dan disertakan buku lirik memang patut dipuji tatkala album fizikal dilihat kurang permintaannya. Keseriusan dalam penghasilan EP Badar ini patut diberi penghormatan.

Cuma dari aspek kualiti audio, MBT perlu tingkatkan untuk projek akan datang.

No comments:

Post a Comment

Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Post Top Ad



Your Ad Spot

Pages