[RETRO] Hijjaz memulakan langkah menubuhkan syarikat Hijjaz Music Entertainment (M) Sdn Bhd (HME). HME ditubuhkan pada 15 Oktober 1999. Awalnya, HME sekadar menguruskan kegiatan seni Hijjaz dan diterajui Mohd Hasyim Ngadiman yang bertindak sebagai Pengarah Urusan. Manakala kumpulan Hijjaz yang masing-masing berkebolehan menjadi komposer dan mahir dalam penerbitan album turut menjadi lembaga pengarah syarikat yang berpotensi ini.
![]() |
| Permulaan awal perniagaan kumpulan Hijjaz. |
HME memulakan langkah pertama menerbitkan album dengan penubuhan kumpulan kanak-kanak Aeman. Album pertama terbitan HME ialah Aeman - Alif Ba Ta pada tahun 1999.
Kehadiran kumpulan In-Team (kini Inteam) sekitar tahun 2000 mencetuskan fenomena nasyid cinta. Populariti artis band jiwang ketika itu menyebabkan HME cuba menampilkan album nasyid yang mempunyai tema cinta dan Islamik. Maka lahirlah album sulung Inteam, Kasih Kekasih.
Sambutan hangat terhadap album Kasih Kekasih membolehkan album ini terjual lebih 80,000 unit. Kemunculan In-Team nyata memberi impak kepada industri nasyid apabila artis nasyid remaja muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Pada tahun 2002, HME telah dijenamakan menjadi Hijjaz Records Sdn. Bhd. dan diterajui oleh Isman Nadim Isam selaku Pengarah Urusan serta Munif Ahmad dan Mohd. Faizal Osman selaku Pengarah Eksekutif. Ketiga-tiga mereka adalah anggota asal kumpulan Hijjaz.
![]() |
| Logo HRSB |
HRSB meneruskan kejayaan menerusi kemunculan kumpulan UNIC. Konsep muzik UNIC lebih berjiwa remaja dengan penggunaan alat muzik yang lebih rancak seperti gitar. Konsep kontemporari nasyid diperluaskan apabila unsur muzik lebih 'catchy' diketengahkan dalam album sulung UNIC, You And I See.
Sekali lagi, HRSB berjaya meraih jualan album yang hebat apabila album You And I See terjual lebih 40,000 unit. Lagu paling hits ketika itu, Hanya Tuhan Yang Tahu.
Pada tahun 2004, HRSB membuat kelainan apabila menampilkan kumpulan Mestica. Konsep kumpulan ini pada ketika itu ialah nasyid moden dicampur dengan unsur nusantara dan world music. Album pertama kumpulan ini ialah Sendu Sendawa.
Kelahiran bekas anak didik Hijjaz berjaya mengembangkan industri nasyid apabila ada antara mereka berjaya menubuhkan syarikat sendiri sebaik saja tamat kontrak bersama HRSB.
Antaranya ialah UNIC yang berjaya menubuhkan UNICDOTMY (serta beberapa anak syarikat), Hafiz Hamidun (ex-UNIC) berjaya menubuhkan Arteffects, Fitri Haris (ex-UNIC) yang berjaya dengan kerjaya solonya serta Mestica yang masih aktif bernasyid.
Yang paling maju ke hadapan sudah pasti Inteam yang berjaya mewujudkan Inteam Records (Inteam Digital) dan kini Inteam Marketing. Malah, syarikat Inteam Records sendiri pernah menerbitkan banyak album para artis nasyid seperti Nazrey Johani, Akhil Hayy, dan Adikku Sayang.
HRSB juga pernah menerbitkan album artis lain seperti Amar, Saujana, Suhaimi Saad, Diana Naim, Allahyarham Azhan Atan, El-Hikmah, Akhdan serta beberapa buah album zikir yang lain.
Selain syarikat rakaman, Hijjaz juga pernah mempunyai beberapa anak syarikat yang digabungkan di bawah Hijjaz Trade Corporation seperti Hijjaz Gold, Hijjaz Studio, Hijjaz Records Publishing (HRP), Hijjaz Biotech, Hijjaz Legend dan Teratak Hijjaz.
![]() |
| Antara syarikat yang pernah Hijjaz miliki. Sumber: Arkib Wartakopi |
Namun, langit tak selalu cerah. Difahamkan banyak syarikat milik Hijjaz telah menamatkan operasi. Malah, berita penutupan Hijjaz Studio pernah dilaporkan oleh media. Yang masih aktif, Hijjaz Records Publishing (HRP) yang menerbitkan buku-buku Islamik.
Anggota Hijjaz juga turut terlibat dalam perniagaan mereka sendiri. Misalnya, Munif terlibat dengan Munif Hijjaz Marketing, Isman pula giat dengan perniagaan GoSambal.
![]() |
| Pejabat urusan Hijjaz Group suatu ketika dahulu di Kota Damansara. |
Hijjaz sememangnya telah membantu mengembangkan industri nasyid di Malaysia. Adakah akan wujud kumpulan nasyid yang berani melahirkan anak didik berkualiti serta mampu pergi jauh seperti mana Hijjaz pernah lakukan? Hanya masa yang menentukan.







No comments:
Post a Comment
Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.