MAHLIGAI
(Lagu dan Lirik: Herman AK)
Tagline 'Rejuvenasi Suara' yang bermaksud 'Suara Alaf Baharu' menjadi asas dalam mengekspresikan suara melalui sinergi kemampuan vokal yang berbeza. Sinergi ini menjadi batu asas kekuatan bagi kumpulan Ashabul Kahfi (AK).
Terdiri daripada lima orang ahli, iaitu Herman AK, Hanif AK, Syahrin AK, Izzat AK dan Taufik AK. Sejarah AK bermula di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) secara rasminya pada 21 Mac 2017. Ketika itu, AK menerima banyak jemputan persembahan sama adadari dalam atau luar kampus di Sarawak.
Dalam mengkomersialkan nama AK, kumpulan ini telah menerbitkan pelbagai video lagu 'cover' di laman Facebook dan Youtube. Selain itu, mereka turut menerbitkan beberapa buah filem pendek di bawah Ashabul Kahfi Production iaitu Lafaz yang Tersimpan (2017), Layar Keinsafan (2018) dan Damba Kasih (2019).
Pada tahun 2019, peluang diberikan kepada kumpulan Energy untuk mengetengahkan bakat. Awalan tahun 2020 pula tiba giliran AK untuk diketengahkan dalam industri nasyid melalui single pertama mereka, Mahligai.
Mahligai merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Herman AK.
Mendengar lagu ini, terimbas kembali era kegemilangan nasyid jiwang sekitar tahun 2000 dahulu. Ketika itu, lagu Kasih Kekasih nyanyian In-team (kini Inteam) menjadi fenomena kegilaan remaja.
Alunan muzik nasyid kontemporari cukup terserlah dalam Mahligai. Sinergi vokal AK yang saling melengkapi menambahkan lagi ramuan untuk Mahligai. Namun, alunan muzik dan sinergi vokal AK masih belum cukup 'masak' untuk dikategorikan sebagai terbaik.
Muzik kontemporari AK perlu dimodenkan sedikit mengikut selera pendengar muzik masa kini. Vokal pula perlu diasahkan lagi supaya lebih lunak didengar dan meletakkan nama AK sebaris dengan nama-nama penasyid gergasi sedia ada.
Mahligai merupakan permulaan yang cukup baik buat AK. Berdasarkan jumlah tontonan melebihi 10 ribu sejak dilancarkan pada 3 Mac 2020, nyata AK ada pengikut tersendiri. Jangan sia-siakan para peminat yang yakin dengan kelebihan AK.
Lagu Mahligai telah dirakamkan Nett Music Production dan diterbitkan oleh Ashabul Kahfi Production dan Soutul Amal Records (bagi pasaran digital). Mahligai boleh didapati di platform digital iTunes, Spotify, Deezer, Google Play, 7Digital, 24/7 MusicShop dan Qobuz.



No comments:
Post a Comment
Wartakopi {dot] Net tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.